Ya
Allah,
Bantulah
aku untuk memadam seraut wajah itu. Bukan aku mahu membuang cinta
ini, cuma aku ingin mengubah hatiku. Jika benar Engkau memberikan aku
cinta ini sebagai satu anugerah, jadikanlah ia satu anugerah yang
paling berharga dan mahal dalam kehidupanku. Akan kubiarkan cinta itu
terus menguasai sebahagian hatiku kalau benar ia tidak mahu pergi.
Tetapi
bantulah daku untuk membunuh harapan kepadanya. Harapan dan impian
yang selalu menyeksakan hidupku. Walau selama ini hatiku selalu
membiarkan bayangnya menguasai hatiku seadanya. Biarlah kutinggalkan
dalam hati ini. Kini baru kutahu bila aku diuji, aku tidak pernah
menyintainya dengan harapan kosong. Baru kusedar bahawa aku juga
berharap untuk memilikinya.
Wahai
hati,
Sabar
& redhalah dengan ujian ini. Tiada faedah dan manfaat
mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Mohonlah kepada Allah sahaja,
moga diberi hidayah dan perlindungan agar matiku nanti dalam Iman dan
Islam. Kerana itu, terlalu banyak ketabahan dan kesengsaraan yang
perlu aku lakukan di sini.
Biarlah
Engkau terus menguji hati ini, menuntut bukti di atas cinta ini.
Engkau mahu menguji adakah benar-benar aku mengasihi-Mu atau lebih
menginginkan makhluk yang lemah sepertiku juga. Dan kini, aku perlu
buktikan biarpun cinta itu ada atau tidak mahu pergi, aku tetap perlu
sujud dan redha dengan rela hati. Aku perlu sujud dengan ikhlas
meskipun yang aku inginkan dan harapkan kini terbukti bukan milikku
takdirnya. Aku perlu yakini itu!
Kembalilah
wahai hatiku!
Kembalilah
kepada fitrahmu yang suci murni. Kembalilah dikau ke singgahsana iman
yang hakiki. Jangan kau katakan kau cintai Tuhan kiranya engkau
terlalu mendambakan untuk bersatu dalam bahagia dengan makhluk-Nya.
Tidak akan berlaku demikian wahai hatiku! Bukalah lembaran fitrahmu
yang Allah tetapkan dari azali betapa tidak akan berdirinya engkau
tanpa-Nya. Tidak akan mulia engkau kiranya masih berdiam di sisi
makhluk dengan harapan untuk berbahagia di sampingnya. Kerana memang
ditentukan, memang tiada kebahagiaan hakiki selain kebahagiaan
mencintai-Nya yang tidak pernah lupa memberi, tidak pernah lupa
melindungi...
Ya
Rahim,
Bersyukurku
kepada-Mu, limpah rahmat dan nikmat-Mu. Kau pancarkan nur Iman, Kau
pancarkan nur Islam, menerangiku daripada kegelapan. Itulah kurniaan
utama, hadirnya dengan hidayah-Mu. Bukan seperti nikmat dunia yang
boleh diusahakan untuk mendapatkannya. Kadangkala aku keliru,
bersyukur apabila hajat tercapai dan resah serta gelisah bila yang
diimpikan tidak terbukti. Bersabarlah hati dengan rintangan
mendatang. Mungkin itulah ujian daripada-Mu, imbangilah diriku dengan
zikrullah, kenangilah segera dengan kurniaan Ilahi. Moga diriku
menjadi golongan yang bersyukur..
Ya
Rabbul Jalil,
Kekalkan
semua ini kiranya dengan begini aku lebih dekat dan menyedari
kewujudan-Mu. Bahawa tidak akan jauh Engkau daripadaku walau sesaat.
Mengingati manusia lain, belum tentu mereka akan menyedari dan
merasainya. Mereka tidak akan menyedarinya walaupun kucintai mereka
dengan setulus hati kecilku ini. Mereka juga tidak akan mampu
memahaminya walaupun aku menderita sebegini. Hanya Engkau
satu-satunya yang mampu membalas cintaku. Bimbinglah aku untuk terus
memberikan cinta ini hanya kepada-Mu. Sesungguhnya Engkaulah teman
yang tak akan pergi pada saat gembira dan dukaku..
Penuhilah
masaku untuk mengenal-Mu serta mencari hidayah-Mu hingga aku
benar-benar menyinyai-Mu tanpa hijab. Bukalah perantara hati ini..
Bukalah hijab hatiku yang bertabir gelap lantaran cinta kepada
manusia yang akan musnah! Bukalah tabir hati ini..
Segala
puji bagi-Mu Ya Allah Tuhan Semesta Alam. Dengan Asma'-Mu, Maha
Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku memohon sebagai hamba-Mu yang
miskin lagi hina. AKu memohon sebagai hamba yang lemah dan tak
berdaya..
Ya
Ilahi,
Tempat
berlindung dan memohon pertolongan! Lukaku tak akan sembuh kecuali
dengan kurnia dan kasih-Mu. Kesulitanku tak akan terlerai kecuali
dengan rahmat-Mu. Kedukaanku tak akan reda kecuali dengan
anugerah-Mu. Kerinduanku tak akan hilang kecuali bertemu dengan-Mu.
Wahai akhir pengharapan para pengharap, wahai puncak pencarian para
perindu.. Sayangilah daku yang berlidah lemah, beramal kurang.
Lindungilah daku di bawah naungan-Mu yang teduh dengan ketenteraman
yang panjang. Kepada-Mu aku berserah dan bergantung harap. Ampunilah
dosa-dosaku selama ini...
No comments:
Post a Comment